Akibat Bertolak Ansur

|
|
Datuk Dr. Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.
|
Kelantangan beberapa pihak daripada kalangan
kelompok bukan Melayu termasuk parti-parti politik dalam soal berkaitan
hak dan kedudukan orang Melayu mula menimbulkan banyak polemik. Malah
selain tuntutan agar ekuiti 30 peratus kepada bumiputera dihapuskan
tulisan Jawi yang dipamerkan di papan-papan tanda juga turut diancam.
Keadaan ini sudah tentulah menimbulkan keresahan di kalangan pelbagai
pihak terutamanya orang Melayu.
Mereka mempertikaikan kenapakah kelantangan seumpama itu semakin
kerap didengari biarpun sesetengah perkara yang dibangkitkan itu sudah
termaktub dalam Perlembagaan dan tidak sewajarnya diganggu-gugat. Dalam
pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan
ZULKIFLEE BAKAR, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk
Dr. Hassan Ahmad merumuskan bahawa segala-galanya berlaku kerana sikap
orang Melayu yang suka bertolak-ansur serta kedudukan politik Melayu
kini yang dilihat semakin melemah.
‘‘Kesudahannya orang lain mengambil kesempatan di atas sikap kita
itu sedangkan mereka sendiri tidak mahu bertolak ansur terhadap hak dan
kepentingan mereka,’’ katanya yang juga Ketua Pegawai Yayasan Karyawan
Malaysia.
Oleh itu Dr. Hassan berharap pemimpin-pemimpin Melayu bertegas
dalam soal yang menyentuh perkara-perkara yang sudah termaktub dalam
Perlembagaan. Pada pandangan beliau, ketegasan yang hendak ditunjukkan
bukanlah bererti orang Melayu bersikap perkauman tetapi mempertahankan
dasar kebangsaan yang digubal dalam Perlembagaan melalui persetujuan
semua kaum.
Walaupun tidak terlibat dalam politik dan bukan ahli UMNO,
Dr.Hassan juga turut melontar sedikit nasihat kepada ahli parti itu
berhubung pemimpin seperti manakah yang mereka perlu bagi memastikan
hak dan kepentingan Melayu mampu terus diperjuangkan.
MINGGUAN: Bagaimanakah Datuk melihat tindakan sesetengah pihak yang semakin kerap menggugat kepentingan Melayu?
DR. HASSAN: Bangsa Melayu sejak 700 tahun dahulu telah meninggalkan
satu pusaka atau warisan yang luar biasa. Saya berani mengatakan bahawa
jarang ada bangsa-bangsa lain di dunia yang mempunyai begitu banyak
kelebihan seperti bangsa Melayu. Pertama, satu kelebihan yang ada
kepada bangsa Melayu sejak abad ke-12 ialah bahasa Melayu. Bahasa itu
mampu berkembang sebagai bahasa merentas semua sempadan. Ia menjadi
bahasa persuratan lingua franca bukan sahaja dalam soal perdagangan
tetapi juga politik. Itulah kelebihan Melayu yang berjaya mengembangkan
bahasanya bukan melalui penjajahan seperti bahasa Inggeris, bahasa
Perancis dan beberapa bahasa penjajah yang lain. Kelebihan kedua ialah
agama Islam yang menjadi agama sejagat dan mampu merentas sempadan
serta membentuk satu tamadun ummah yang besar.
Jadi warisan ini ditinggalkan kepada kita sampai ke hari ini.
Tetapi persoalannya kenapa kita biarkan kaum- kaum lain yang datang
dari luar budaya dan sosial Melayu seperti dari China, India dan Arab
mencabar warisan ini? Oleh itu saya berpendapat cabaran yang kita
hadapi hari ini bukanlah cabaran daripada orang luar tetapi daripada
bangsa Melayu sendiri.
Kenapa Datuk berkata demikian?
DR. HASSAN: Saya berpendapat mulai tahun 1980-an sistem nilai Melayu
berubah. Kita sudah tidak lagi mementingkan warisan kita. Orang Melayu
meninggalkan semangat kebangsaan. Saya menggunakan istilah semangat
kebangsaan kerana orang Melayu tidak bersikap perkauman.
Semangat ini yang memberi tenaga kepada kita untuk menentang
British atau Malayan Union mati selepas merdeka dan ia digantikan oleh
apa yang disebut nilai baru iaitu nilai globalisasi atau globalisme.
Justeru segala dasar kita disesuaikan dengan kehendak globalisasi
itu. Contohnya peraturan perdagangan bebas, saya tidak percaya ada
perdagangan bebas kerana ia sebenarnya dikawal oleh Amerika Syarikat
(AS) melalui Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Justeru
orang Melayu mesti faham dan diberitahu bahawa globalisasi ini sudah
bermula sejak 400 tahun dahulu di dunia Melayu iaitu ketika kedatangan
bangsa Portugis menawan Melaka.
Selepas Portugis, dua lagi kuasa barat membawa proses globalisasi
dalam bentuk penjajahan ke dunia Melayu tetapi bangsa Melayu sejak 1511
kekal identitinya sampai sekarang.
Ini termasuklah dalam soal institusi raja-raja dan bahasa Melayu
yang terkenal di seluruh dunia dan diketahui lebih 280 juta manusia.
Inilah bahasa yang membentuk tamadun di rantau ini. Orang menghasilkan
karya besar dalam bahasa Melayu. Ia termasuklah dalam menulis sejarah
Aceh dan sebagainya. Begitu juga Islam dikembangkan dalam bahasa
Melayu. Malah bahasa Melayu juga digunakan dalam mengembangkan agama
lain seperti menterjemahkan kitab Injil.
Jadi saya hendak menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa
berpengaruh dan dominan di kawasan ini. Ia sudah banyak mencipta ilmu
justeru kenapa sekarang kita membiarkan orang lain atau keadaan
memusnahkan, bahasa ini? Kalau bahasa kita dimusnahkan bangsa itu akan
turut termusnah, pemikiran dan ilmu mereka akan termusnah.
Akhirnya ia menjadi seperti bangsa penduduk asli di AS yang
terpaksa mengikut bahasa Inggeris. Bagi saya, kalau ada kaum yang cuba
hendak menggantikan atau membantah tulisan Jawi pada papan-papan tanda
jalan kita mesti mencegah dan membantah secara tegas kerana ia akan
memusnahkan budaya kita yang sudah bertapak sejak 700 tahun lalu. Apa
salahnya tulisan Jawi? Kenapa pula kita tidak pernah membantah tulisan
Cina dan Tamil?
Dalam soal ini sejauh manakah kuasa politik Melayu boleh bertindak tegas?
DR. HASSAN: Ini bukan soal mempertahankan tetapi mesti tegas
mengekal dan memelihara warisan ini. Namun kita tidak melakukan itu.
Contohnya, Dasar Bahasa Kebangsaan kita semakin melemah. Kita
menggantikan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam
bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, ini memusnahkan nilai bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu, sedangkan selama 30 tahun bahasa Melayu digunakan
dalam subjek berkenaan ia sudah terbukti mampu melahirkan banyak ahli
sains dan perubatan serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang. Orang
bukan Melayu pula tidak lagi mempersoalkan dasar ini kerana mereka
tidak rugi dan tidak dipinggirkan. Tiba-tiba pemimpin Melayu
memusnahkan dasar ini tanpa sebab munasabah. Ini contoh bagaimana
bangsa Melayu memusnahkan budaya atau kelebihan atau kekuatan yang
sudah ada kepada kita sejak berabad lalu.
Adakah ini berkaitan dengan nilai-nilai baru seperti globalisasi?
DR. HASSAN: Ya, kononnya dalam era globalisasi sempadan negara,
sempadan kebangsaan tidak ada lagi. Semua itu hakikatnya adalah
propaganda dan satu ideologi yang dikembangkan oleh kuasa besar
misalnya AS. Mereka bercakap tentang perdagangan bebas tetapi
persoalannya apakah di negara sendiri mereka mempunyai dasar
menggalakkan pasaran bebas? Sebagai contoh, mereka memberitahu negara
sedang membangun jangan mengawal ekonomi dan mesti membebaskan pasaran
serta jangan beri subsidi kepada sektor pertanian umpamanya.
Tetapi hakikatnya, AS adalah negara terbesar memberi subsidi kepada
sektor pertanian mereka, akibatnya produk mereka yang dieksport lebih
murah harganya daripada yang dikeluarkan oleh negara-negara membangun.
Apakah ini dinamakan pasaran bebas? Ini mereka lakukan dengan matlamat
untuk menjajah ekonomi orang lain.
Malangnya di Malaysia, kita pula percaya bahawa kalau hendak maju
mesti menggunakan bahasa Inggeris. Semua ini adalah satu pemikiran atau
dasar bangsa penjajahan. Saya percaya sama ada kita sedar atau tidak
kebanyakan pemimpin Melayu sudah dijajah oleh sistem barat yang masih
kekal dalam bentuk penjajahan baru. Inilah globalisasi.
Tetapi ancaman terhadap kedudukan atau kepentingan Melayu hanya
berlaku selepas pilihan raya, dahulu ia tidak begitu ketara sangat?
DR. HASSAN: Oleh kerana kita sudah dilihat oleh orang lain sebagai
satu bangsa yang sudah tidak mempunyai kekuatan politik maka mereka
berani mempersoalkan hak-hak kebangsaan negara ini seperti institusi
raja-raja, bahasa Melayu dan tulisan papan tanda dalam bahasa Melayu.
Saya beritahu rakan-rakan bukan Melayu, kalau pengumuman dibuat
dalam bahasa Inggeris atau membuat papan tanda dalam bahasa Mandarin
berapa orang yang tahu? Saya bukannya membenci bahasa Mandarin atau
bahasa Tamil tetapi ini adalah hakikat. Kalau ditulis dalam bahasa
Melayu saya fikir semua warga Malaysia memahaminya. Malah kita harus
faham bahawa di kalangan masyarakat Tionghua sendiri ramai yang tidak
tahu bahasa Mandarin. Oleh itu tidak ada sebab mana-mana pihak hendak
mempertikaikan penggunaan bahasa Melayu di papan tanda sehingga mahu
bahasa-bahasa lain juga digunakan? Apa tujuannya?
Bahasa-bahasa lain bukanlah bahasa kebangsaan negara ini. Dalam
Perlembagaan sudah dinyatakan dengan jelas bahawa bahasa Melayu adalah
bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain boleh diajar di sekolah dan
dipelihara.
Kaum lain mesti faham bahawa selepas merdeka, sekolah Melayu tidak
ada lagi yang ada hanyalah sekolah kebangsaan untuk semua kaum tetapi
sekolah Cina dan sekolah Tamil kekal, orang Melayu tidak mahu
mempersoalkan ini. Cuba pergi ke Singapura mana ada sekolah Cina atau
sekolah Tamil milik bantuan kerajaan.
Kalau hendak ‘bergaduh’ kita banyak modal untuk menang tetapi
pemimpin kita selalu bertolak ansur. Orang lain tidak bertolak ansur,
itu sebabnya semakin lama semakin terhakis hak kita.
Apakah mungkin sikap tolak ansur ini menyebabkan orang lain semakin berani mempertikaikan hak Melayu?
DR.HASSAN: Saya yakin selepas ini semakin banyak perkara yang akan
menyaksikan orang Melayu bertolak ansur. Mereka minta dapat, kita minta
tak dapat, kalau kita diberi juga, kita akan dianggap perkauman. Apa
juga yang kita tuntut akan dianggap perkauman tetapi kalau mereka yang
minta tidak dianggap perkauman.
Bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini?
DR. HASSAN: Pemimpin Melayu mesti tegas melaksanakan apa yang sudah
termaktub dalam Perlembagaan. Kita harus ingat Perlembagaan digubal
bukan untuk kepentingan Melayu semata-mata, tetapi juga kepentingan
semua rakyat di negara ini. Tidak ada dasar Melayu dalam Perlembagaan.
Institusi Raja contohnya adalah institusi kebangsaan. Dulu memanglah
raja Melayu milik orang Melayu tetapi sekarang ia sudah menjadi
institusi kebangsaan.
Justeru semua orang mesti bersikap nasionalis tanpa mengira apa
juga keturunan mereka. Asalkan dia warga negara Malaysia, dia mesti
bersikap nasionalis bererti dia mempertahankan Perlembagaan. Ia kerana
Perlembagaan negara ini bukanlah Perlembagaan bangsa Melayu tetapi
Perlembagaan Malaysia yang digubal selepas berunding dengan semua kaum.
Bagaimana pemimpin Melayu hendak bertegas kalau mereka sendiri berpecah belah?
DR. HASSAN: Mereka berpecah kerana ada kepentingan masing-masing.
Mereka tidak ada lagi kepentingan bangsa, semua itu sudah ditinggalkan.
Jadi agenda Melayu sudah tidak ada, kalau ada pun ia sekadar dalam
angan-angan sahaja atau niat tetapi tidak ada tindakan untuk
melaksanakan atau mempertahankan agenda Melayu. Bagi saya, apabila
disebut agenda Melayu ia bermaksud ada agenda kebangsaan.
Contohnya, bahasa kebangsaan ia bukannya agenda Melayu tetapi dasar
kebangsaan. Ia wujud selepas merdeka kerana sebelum merdeka apa yang
ada hanya dasar perkauman. Begitu juga Dasar Ekonomi Baru (DEB) ia
bukan dasar Melayu tetapi dasar kebangsaan, golongan yang paling banyak
untung selepas 20 tahun dasar itu dilaksanakan bukannya orang Melayu.
Kalau beberapa orang Melayu kaya raya itu soal lain.
Saya melihat ekonomi Melayu sebagai satu bentuk piramid yang paling
kuat ialah asasnya tetapi sekarang ini yang dibina puncak, asasnya
lemah. Akhirnya dalam semua bidang kita hanya menjadi bangsa peniru dan
bangsa pengimport. Saya percaya kekuatan sesuatu bangsa mesti
berdasarkan identitinya sendiri termasuklah dari segi bahasa, budaya
dan agamanya. Mereka mesti membina dasar kebangsaan yang kuat barulah
kita boleh bersaing dengan orang luar. Tetapi sekarang kita sudah
rapuh, sudah tidak kuat, segala macam pengaruh daripada luar mudah
masuk ke negara ini.
Penggunaan bahasa Inggeris contohnya, ada di kalangan pemimpin
Melayu sendiri memberitahu orang Melayu kalau hendak maju kamu mesti
menggunakan bahasa Inggeris. Kita tidak menentang bahasa Inggeris. Hari
ini hampir semua yang dikatakan pejuang bahasa Melayu terdiri daripada
mereka yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik, tetapi mereka tidak
boleh dianggap fanatik atau ekstremis apabila memperjuangkan bahasa
Melayu, mereka mempertahankan hak dan warisan seperti juga orang
Inggeris mempertahankan bahasa Inggeris.
Persoalannya kalau kita tengok orang politik seolah-olah tidak bimbang dengan ancaman di hadapan mereka?
DR. HASSAN: Kalau mereka hendak menyelamatkan negara ini amnya dan
bangsa Melayu khususnya mereka mestilah memastikan bahasa Melayu
dipertahankan sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar utama dalam
sistem pendidikan negara ini. Ia kerana hampir semua rakyat Malaysia
yang terdidik mengetahui bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.
Pemimpin MCA dan DAP misalnya mereka begitu bagus apabila bercakap
bahasa Melayu. Mereka tidaklah mempersoalkan lagi bahasa Melayu kerana
ia tidak merugikan mereka, tetapi orang Melayu bila bercakap dia campur
aduk dengan bahasa Inggeris. Apakah orang seumpama ini harus dipilih
sebagai pemimpin Melayu?
Jadi kalau orang Melayu memilih pemimpin seumpama itu maka mereka
inilah yang akan menjatuhkan bangsa Melayu. Sebab itulah saya berharap
dalam pemilihan UMNO yang bakal berlangsung, mereka akan memilih
pemimpin Melayu yang benar-benar jujur dan akan mempertahankan
dasar-dasar kebangsaan untuk kepentingan rakyat serta negara ini bukan
untuk orang Melayu sahaja. Kalau kita mempertahankan bahasa Melayu
bukan kita mempertahankan hak orang Melayu tetapi mempertahankan
institusi negara demi kepentingan semua kaum tetapi sekarang kita
membiarkan orang lain mempersoalkan perkara ini.
Bagi saya usaha hendak menghapuskan tulisan Jawi di papan tanda
adalah remeh-temeh. Mereka yang berbuat demikian adalah bersikap
perkauman dan tidak bijak kerana negara mempunyai masalah yang lebih
besar. Justeru saya fikir orang Melayu hendaklah bijak memilih pemimpin
dalam parti apa pun. Orang Melayu harus diberi pemahaman bahawa bahasa
Melayu merupakan bahasa berpengaruh di rantau ini yang membentuk
tamadun dan kesatuan ummah bukannya bahasa lain.
Orang Melayu mesti sedar perkara ini, kalau mereka membiarkan
bahasa Melayu musnah, perjuangan mereka juga berakhir sebab bahasa
bukannya sistem linguistiknya sahaja tetapi yang paling penting ia
adalah alat membentuk pemikiran dan budaya bangsa itu. Kalau orang
Melayu sudah tidak pandai lagi berfikir dalam bahasa Melayu, mereka
akan jadi bangsa kacukan dalam berfikir.
Kaum lain bersatu kalau ada isu yang melibatkan kepentingan mereka
tetapi orang Melayu tidak dapat berbuat demikian, apa pandangan Datuk?
DR. HASSAN: Ini berlaku kerana orang Melayu mudah bertolak ansur
apabila ditegur ketika hendak memperjuangkan hak mereka. Saya setuju
kaum lain bersatu melalui kebudayaan, bahasa dan pendidikan. Mereka
berpegang teguh kepada perkara ini.
Hakikatnya orang Melayu sudah mempunyai kelebihan luar biasa
berbanding bangsa lain. Selain bahasa, orang Melayu juga mempunyai
agama Islam – satu agama yang mampu menyatukan seluruh ummah. Justeru
orang Melayu perlu memahami dan menyedari betapa hebatnya nenek moyang
mereka menghadapi segala cabaran yang datang dari luar tetapi berjaya
mengekalkan identitinya seperti bangsa, bahasa, budaya dan institusi
raja-raja.
- Utusan Malaysia, November 2; 2008